Monday, December 22, 2008

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 7/2003 : ( Ruj 2009 )

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 7/2003 :


KUASA GURU MEROTAN MURID


Kuasa merotan murid telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama.
Kuasa merotan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan berasaskan peruntukan yang
disediakan dalam PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di
bawah ORDINAN PELAJARAN 1957. Dalam PERATURAN 6 dinyatakan dengan jelas
bahawa :
Peraturan 6 :
Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk
kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa
disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di
sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud
itu, tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid
boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu:
2. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan berharap kuasa yang diberikan itu
digunakan oleh pihak sekolah dengan mematuhi PERATURAN 5 di bawah ordinan yang
sama :
Peraturan 5 :
(1) Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah
mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa
sebagaimana perlu atau bermanfaat :
Dengan syarat bahawa –
(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan
(b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain
kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang
ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian
dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa
nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.
(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah
perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh
pendaftar. Hukuman yang dikenakan hendaklah direkodkan dengan menyatakan
jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan
tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan.
3. Dalam melaksanakan hukuman rotan, pengetua atau guru besar dan guru-guru yang
diberikan kuasa hendaklah sentiasa menyedari bahawa merotan adalah sebahagian
daripada proses pendidikan. Tindakan yang dikenakan mestilah difahami sebagai alat untuk
mendisiplinkan dan bukan sebagai alat yang akan merosakkan fizikal dan mental murid.
Guru-guru yang merotan murid bukan berdasarkan rasa marah dan dendam tetapi untuk
memberi pengajaran bahawa setiap kesalahan ada hukumannya. Dalam konteks sekolah,
merotan hanya sebagai sebahagian daripada proses mendidik terutamanya kepada mereka
yang tidak berdisiplin.
4. Hukuman rotan di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang
berlangsung proses pengajaran dan pembelajaran adalah dilarang. Tindakan sedemikian
akan menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negatif yang lebih besar terhadap
perkembangan keperibadian seorang murid. Bersama-sama surat ini disertakan contoh
Surat Penurunan Kuasa Melaksanakan Hukuman Rotan (Lampiran A) sebagai panduan.
5. Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada pegawai yang
berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Bahagian/Daerah dan semua
sekolah di bawah pentadbiran Y.Bhg. Datuk/Dato’/Tuan/Puan.
Sekian. Terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
DATUK ABDUL RAFIE BIN MAHAT
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia