Monday, December 22, 2008

Panduan AM Guru -TUGAS-TUGAS DAN PERATURAN-PERATURAN AM GURU-GURU ( Ruj 2009 )

TUGAS-TUGAS DAN PERATURAN-PERATURAN AM GURU-GURU


1. Guru-guru mestilah datang awal ke sekolah sekurang-kurangnya 10 minit sebelum waktu persekolahan dan balik lewat sekurang-kurangnya 10 minit selepas waktu persekolahan / kelas.

2. Guru-guru mestilah menandatangani buku kedatangan guru dan waktunya dengan dakwat biru/hitam ketika datang dan balik di bilik guru / pejabat Guru Besar.

3. Guru-guru mestilah berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata serta memakai tanda nama seperti surat pekeliling ikhtisas bil.6/1985. Guru-guru lelaki memakai tali leher dan dilarang berambut panjang. Guru-guru juga dilarang merokok di merata-rata tempat di kawasan sekolah.

4. Buku rekod mengajar mestilah ditulis sebelum masa pengajaran dan pemelajaran dijalankan dengan meneliti dan menyemak perkara-perkara yang telah atau belum diselesaikan.

5. Buku rekod mengajar mestilah dihantar ke bilik Guru Besar seminggu sekali tiap-tiap hari Jumaat.

6. Buku rekod mengajar mestilah lengkap dengan sukatan pelajaran, rancangan tahunan, harian, jadual waktu guru, maklumat diri guru, senarai pelajar, maklumat ujian dan markah ujian serta lain-lain perkara yang diperlukan.

7. Guru-guru mestilah berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan sabar serta tidak mementingkan diri sendiri, penuh minat, adil dan sentiasa berupaya menolong pelajar dalam semua bidang pemelajarannya. Guru-guru adalah bertanggungjawab membentuk sahsiah pelajar.

8. Guru-guru mestilah mematuhi dan menepati segala tugas dan arahan yang diberikan dari semasa ke semasa oleh Guru Besar dan mengambil tindakan secara positif dan segera.

9. Guru-guru mestilah mengutamakan tugas di sekolah dari tugas luar terutamanya jika melibatkan diri dalam hal-hal yang melanggar peraturan profesyen perguruan.

10. Guru-guru mestilah memahami, menghayati dan melaksanakan FPK, falsafah, matlamat dan objektif sekolah dengan penuh dedikasi, rasa kasih sayang, taat dan ikhlas. Jadikan objektif itu sebagai pegangan dan panduan dalam menjalankan tugas.

11. Guru-guru hendaklah menghayati tatasusila profesyen perguruan serta menjunjung perguruan sebagai satu profesyen dan bukan sebagai satu pekerjaan. Hindarilah dari melakukan perkara-perkara yang boleh memalukan dan menjatuhkan imej profesyen perguruan.

12. Guru-guru mestilah menghabiskan sukatan pelajaran mereka pada akhir tahun supaya tidak membebankan guru-guru pada tahun berikutnya.

13. Guru-guru mestilah menentukan keputusan peperiksaan tahunan tidak merosot dan sentiasa mencari jalan mengatasi kelemahan dengan mengadakan kelas tambahan,bimbingan, pemulihan dan pengayaan.

14. Guru-guru diwajibkan hadir dalam semua aktiviti kokurikilum sukan dan permainan yang dirancang oleh pihak sekolah. Malah apa jua aktiviti luar bilik darjah yang berkaitan dengan kurikulum.

15. Guru-guru mestilah mengawasi dan mengawal segala rancangan dan gerakerja yang dirancang dan dilaksanakan oleh pelajar. Jangan sekali-kali membiarkan mereka tanpa bimbingan.

16. Guru-guru mestilah bertanggungjawab dan bekerjasama membantu Guru Besar dalam menjaga dan mengawasi disiplin, keselamatan dan kebajikan pelajar serta bersama-sama mengatasi masalah pembelajaran pelajar- pelajar sewaktu berada di sekolah.

17. Guru-guru mestilah sentiasa mengamalkan dan menunjukkan kepemimpinan yang berkesan dan dinamik dalam menjalankan tugas. Kerja-kerja yang dijalankan mestilah sistematik dan kemaskini. Guru akan sentiasa menjadi ikutan pelajar.

18. Guru-guru hendaklah bekerjasama dan bertanggungjawab menjaga keselamatan harta benda dan keceriaan sekolah supaya dapat mewujudkan iklim pemelajaran yang selesa, bersih, cantik serta indah di kalangan pelajar seperti surat perkeliling ikhtisas bil.4/1989.

19. Guru-guru juga mestilah menjalinkan hubungan yang baik dan mesra tetapi tegas tanpa mendera dengan pelajar-pelajar juga dengan pihak ibu bapa.

20. Batas-batas pergaulan sesama kakitangan, guru-guru dengan pelajar-pelajar hendaklah dijaga supaya tidak timbul fitnah dan rungutan.

21. Bekerjasama sebagai satu keluarga, bertolak ansur, hormat-menghormati antara satu sama lain, hormatkan pendapat orang lain, "no-back – biting". Masalah yang timbul hendaklah diselesaikan bersama melalui rundingan demi mewujudkan keselesaan suasana pengajaran dan pemelajaran. Menulis di media massa atau mana-mana pihak adalah dilarang sama sekali. Teguran dan pandangan oleh Guru Besar dan pihak pentadbir sekolah hendaklah diterima dengan ikhlas, diamati dan diteliti demi kebaikan bersama.

22. Guru-guru digalakkan menambah pengetahuan melalui pembacaan tambahan atau melalui kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan atau mana-mana pihak untuk keberkesanan pengajaran. Pihak pentadbir sekolah akan mengadakan penyeliaan dari masa ke semasa untuk meningkatkan prestasi guru-guru.

23. Guru-guru tidak dibenarkan keluar kelas semasa pengajaran kecuali hal-hal tertentu, tidak boleh melepaskan pelajar keluar kelas atau balik lebih awal, kelas-kelas mestilah sentiasa diawasi oleh guru dan jika berlaku hal-hal yang tidak diingini, guru-guru adalah dipertanggungjawabkan.

24. Guru-guru ganti hendaklah masuk kelas seperti dijadualkan dan mengajar mata pelajaran yang boleh diajar. Guru-guru tidak digalakkan membiarkan pelajar-pelajar membuat kerja sendiri. Sila rujuk pekeliling ikhtisas bil.3/1981.

25. Guru-guru wajib menghadiri Perhimpunan Rasmi Sekolah yang diadakan tiap-tiap minggu.

26. Guru-guru mesti hadir dalam semua mesyuarat rasmi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dari masa ke semasa. Jika tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tertentu hendaklah menulis surat rasmi atau memaklumkan sendiri kepada Guru Besar.

27. Guru-guru mestilah mematuhi peraturan bilik-bilik khas sekolah yang telah ditetapkan dalam buku peraturan sekolah.

28. Guru-guru yang hendak keluar sekolah sewaktu bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan mestilah meminta izin daripada Guru Besar dan menulis dalam buku keluar / masuk yang disediakan di pejabat Guru Besar. Guru Besar berhak melarang guru-guru keluar dari kawasan sekolah dalam keadaan tertentu.

29. Guru-guru diminta mengawas segala ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah selaras dengan pengawasan peperiksaan awam. Pelajar mestilah diawasi dengan teliti supaya tidak berlaku penyelewengan dan jangan sekali-kali membenarkan pelajar keluar lebih awal daripada masa yang dijadualkan. Guru-guru hendaklah mengingatkan pelajar-pelajar supaya mematuhi arahan-arahan peperiksaan dalaman / peperiksaan awam seperti dalam lampiran pengawasan peperiksaan.

30. Sekiranya guru-guru cuti sakit, hendaklah memberitahu Guru Besar dengan segera dan sijil sakit dari doktor yang diakui hendaklah diserahkan segera kepada Guru Besar sebaik-baik guru datang semula bertugas. Sijil sakit dari doktor swasta yang melebihi dua hari hendaklah ditandatangan balas oleh doktor kerajaan.

31. Guru-guru hendaklah mendapatkan kebenaran Guru Besar untuk ke Jabatan Pendidikan atau Kementerian atas urusan rasmi dan membawa bersama-sama surat kebenaran Guru Besar.

32. Urusan surat menyurat ke Jabatan Pendidikan Negeri / Kementerian Pendidikan mestilah melalui dan salinan kepada Guru Besar.

33. Guru-guru hendaklah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Guru Besar apabila memesan dan membeli peralatan sekolah. Guru-guru juga dilarang membuat rundingan-rundingan dengan mana-mana pihak pembekal peniaga tanpa kebenaran Guru Besar.

34. Guru-guru yang akan bertukar sekolah hendaklah mempastikan terlebih dahulu kerja-kerja telah sempurna, membuat penyerahan tugas dan mengembalikan segala apa jua harta kepunyaan sekolah serta menjelaskan hutang piutang sekiranya ada dengan pihak sekolah.

35. Guru-guru dinasihatkan supaya membaca dan memahami kandungan perintah-perintah am dan lain-lain arahan perkhidmatan.